WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan bahawa beliau sedang mempertimbangkan kebarangkalian untuk menyertai semula Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lapor akhbar New York Post semalam.
Trump berkata demikian selepas beberapa hari menandatangani perintah eksekutif bagi membolehkan AS menarik diri daripada agensi antarabangsa itu.
“Mungkin kita akan mempertimbangkan untuk melakukannya (menyertai) sekali lagi,” kata presiden itu pada perhimpunan di Circa Resort & Casino, Las Vegas.
Sebelum ini, Trump mengkritik penyertaan AS dalam WHO dengan menyatakan bahawa Washington banyak membuat bayaran kepada kumpulan yang terdiri daripada 194 buah negara itu.
Ketika itu, beliau berkata, Amerika membayar AS$500 juta (RM2.2 bilion) berbanding China yang hanya membayar AS$39 juta (RM170 juta) walaupun mempunyai penduduk lebih ramai iaitu 1.4 bilion orang.
Presiden itu juga menyatakan bahawa WHO gagal untuk menerima pakai pembaharuan yang diperlukan segera dan menyifatkan sumbangan kewangan AS kepada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu sebagai membebankan.
“Minggu ini sahaja, saya menandatangani hampir 350 perintah eksekutif untuk memulihkan kegagalan dan pengkhianatan ngeri yang diwarisi daripada sekumpulan individu yang tidak tahu apa mereka lakukan,” kata Trump.
“Mesej kami adalah jelas: kejatuhan Amerika telah berakhir,” tambahnya. – AGENSI