BANDAR GAZA – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendedahkan rancangan untuk ‘membersihkan’ Gaza, dan menyatakan bahawa beliau mahu Mesir serta Jordan menerima rakyat Palestin dari wilayah itu dalam usaha mewujudkan keamanan di Asia Barat.
Sambil menyifatkan Semenanjung Gaza sebagai ‘tapak kemusnahan’ selepas perang Israel dengan Hamas, Trump berkata, beliau telah bercakap dengan Raja Jordan, Raja Abdullah II mengenai isu tersebut.
Trump menjangkakan untuk bercakap dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi hari ini.
“Saya mahu Mesir menerima penduduk (Gaza). Saya juga mahu Jordan menerima (mereka),” kata Trump kepada pemberita di atas pesawat Air Force One.
“Kita bercakap tentang kira-kira satu juta setengah orang, dan kami mahu ‘membersihkan’ semuanya (Gaza).
“Kita semua tahu, selama berabad-abad terlalu banyak konflik berlaku tapak itu (Gaza). Saya tidak tahu, sesuatu mesti dilakukan,” katanya.
Sebahagian besar daripada 2.4 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan terpaksa berpindah beberapa kali ekoran perang antara Israel dengan Hamas yang tercetus pada 7 Oktober 2023.
Mengenai sama ada pemindahan penduduk Gaza akan berlaku secara sementara atau jangka panjang, Trump berkata, ia berkemungkinan kedua-duanya.
“Ia benar-benar menjadi lokasi kemusnahan, hampir semuanya dirobohkan dan ramai orang mati di sana.
“Justeru, saya lebih berminat untuk terlibat dengan beberapa negara Arab dan membina penempatan mereka (penduduk Gaza) di lokasi berbeza. Mereka boleh hidup dengan aman untuk perubahan,” katanya. – AFP