JOHOR BAHRU – Seorang pengawal keselamatan sekolah ralat kerana tidak segera mendekati sebuah kereta BMW yang berhenti terlalu lama di tepi jalan sebelum mengetahui pemandu dan penumpangnya maut di dalam kenderaan itu, Khamis lalu.
Lelaki yang dikenali sebagai Ahmad, 60, berkata, pada mulanya dia tidak mengesyaki sesuatu yang pelik kerana setiap hari ada sahaja kereta yang berhenti di tepi jalan di hadapan sekolah di Bandar Baru Uda (BBU) di sini.
Katanya, dia menyedari kehadiran BMW itu tidak bergerak dan dalam keadaan enjin masih hidup sekitar pukul 2 petang sehingga syif kerjanya tamat.
“Saya memang tidak syak apa-apa, cuma terdengar bunyi deruman enjin beberapa kali apabila pedal minyak ditekan. Saya hanya tengok dari jauh, tetapi tidak nampak apa-apa kerana cermin kereta gelap.
“Sehingga pukul 7 malam, saya tidak nampak sesiapa pun keluar dari kereta itu, tetapi enjin kereta masih hidup.
“Saya terkejut apabila rakan sekerja beritahu ada ibu dan anak meninggal dunia di dalam kereta berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.
Kosmo! Ahad semalam melaporkan seorang ibu ditemukan maut bersama anak perempuannya di dalam kereta yang diparkir di tepi jalan di hadapan sekolah tersebut.
Dua beranak itu dikenali sebagai Nasran Azizah Ahmad, 44, dan Nur Myiesya Dhaneeya Mohamed Syakir, 14.
Polis kini menunggu laporan makmal dan siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.
Setakat ini, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.
Jenazah dua beranak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu di sini, kira-kira pukul 3 petang semalam, selepas selesai proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini. -KOSMO! ONLINE