MELBOURNE – Bintang No. 1 dunia, Jannik Sinner terus membuktikan keunggulannya apabila menewaskan pemain muda Amerika Syarikat (AS), Ben Shelton 7-6 (7/2), 6-2, 6-2 pada separuh akhir Terbuka Australia kelmarin, sekali gus mara ke final Grand Slam ketiganya.
Pertarungan di Rod Laver Arena itu menyaksikan Sinner, 23, menampilkan permainan dominan dengan ketahanan dan ketepatan luar biasa, sekali gus mencatat kemenangan ke-20 berturut-turut dalam Jelajah ATP.
Dalam pertembungan sengit berlangsung dua jam 35 minit, Sinner menunjukkan keupayaan mengawal tempo perlawanan dan memanfaatkan servis lawan yang kurang konsisten.
“Set pertama sangat kritikal. Ia memberi keyakinan kepada saya untuk mengawal perlawanan selepas itu.
“Saya rasa servis Shelton tidak berada pada tahap terbaik hari ini, dan saya cuba manfaatkan peluang itu,” kata Sinner.
Sinner menjadi pemain lelaki termuda mara dua final Terbuka Australia sejak Jim Courier pada 1993 dan berharap dapat mempertahankan rekod sempurna di pentas perlawanan akhir Grand Slam setelah menjuarai Terbuka Australia dan Terbuka AS tahun lalu.
Sinner yang mendominasi musim 2024, kini dianggap pemain paling sukar ditewaskan dengan lapan gelaran Jelajah ATP iaitu jumlah tertinggi oleh mana-mana pemain sebelum dia mencapai kedudukan No. 1 dunia pada Jun lalu.
Kejayaan besar itu turut disusuli dengan kemenangannya di Shanghai, Nitto ATP Finals di Itali serta membantu negaranya merangkul Piala Davis buat tahun kedua berturut-turut. – AGENSI