KUALA LUMPUR – Pelakon Sophia Albarakbah enggan mengambil peduli dengan kecaman netizen mengenai penampilannya yang dikatakan mencolok mata pada sebuah acara fesyen baru-baru ini.
Sophia, 31, berkata, busana yang digayakan adalah tajaan daripada pereka fesyen selain tidak mengetahui mengenai kecaman yang dilemparkan terhadapnya dalam media sosial.
“Sebenarnya saya tidak tahu apa-apa tentang isu ini sehinggalah seseorang memberitahu saya. Saya hanya menggayakan baju yang ditaja.
“Terima kasih kepada semua yang prihatin tentang penampilan saya. Doakan yang terbaik, saya akan lebih berhati-hati dalam memilih pakaian,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada majlis pelancaran butik Amber di sini, hari ini.
Tambah bintang drama Suamiku Seorang Lelaki Pendosa itu, dia tidak mampu untuk mengelak kecaman selain sedar dia merupakan seorang selebriti yang sering menjadi bahan bualan ramai.
“Kita tidak boleh elak daripada kecaman orang, bukan sesuatu yang baharu malah, nanti akan ada lagi orang bercakap tentang saya.
“Saya tahu sebagai ‘public figure’, kita perlu berdepan dengan kecaman-kecaman ini.
“Saya tidak sengaja cetuskan kontroversi dan hidup macam biasa sahaja tetapi orang yang memilih untuk bercakap tentang saya,” ujarnya.
Baru-baru ini, Sophia sekali lagi mencuri perhatian selepas penampilannya dikatakan seksi ketika hadir pada sebuah acara fesyen.
Pada majlis tersebut, dia menggayakan busana hitam yang mendedahkan lurahnya. – KOSMO! ONLINE