fbpx

Perpustakaan Syed Muhammad Naquib al-Attas permata keilmuan Islam di Asia Tenggara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar berbual bersama Syed Muhammad Naquib al-Attas pada Syarahan Perdana di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, malam ini. - Foto oleh MUHAMMAD IQBAL ROSLI / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan Perpustakaan Syed Muhammad Naquib al-Attas di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) sebagai salah satu perpustakaan terkemuka mengenai Islam di rantau Asia Tenggara.

Anwar berkata, dengan koleksi semasa dianggarkan melebihi 150,000 judul, perpustakaan ini diiktiraf sebagai pusat rujukan penting dalam bidang keilmuan Islam.

Katanya, kerajaan akan mengambil inisiatif bagi memperkasa perpustakaan berkenaan untuk generasi akan datang terus mendapat manfaat.

“Kita berdoa kepada Allah SWT agar generasi akan datang dapat mengambil inspirasi dan manfaat daripada khazanah ilmu yang diwariskan oleh tokoh ilmuan Islam terkemuka ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Syarahan Perdana Professor Diraja Terpuji Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam ini.

Dalam pada itu, Anwar menyifatkan legasi intelektual Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai pencapaian agung yang mencerminkan kekayaan keilmuan Islam serta kebijaksanaan Melayu.

Katanya, walaupun banyak pihak berterima kasih atas sumbangan tokoh itu dalam bidang sejarah, semantik, kesusasteraan, kajian peradaban, falsafah, metafizik dan Islam, kedalaman legasinya masih sukar diukur.

“Namun, tidak diragukan lagi bahawa legasi itu terhasil daripada dedikasi seumur hidup terhadap pencarian ilmu yang penuh semangat, seruan agama untuk mencari kebenaran dan pemahaman serta perjalanan mistik dalam menjelajahi misteri yang tidak diketahui,” katanya.

Menurut Anwar, Syed Muhammad Naquib al-Attas merupakan sarjana yang mampu mengupas perjanjian primordial antara Tuhan dan manusia dengan kejelasan yang menginspirasikan.

“Adalah lebih baik bagi kita kekal di tempat kita sebagai pelajar,” ujarnya.

Perdana Menteri turut berkongsi pengalaman peribadinya sebagai salah seorang pelajar Syed Muhammad Naquib al-Attas, mengakui bahawa karya Islam and Secularism yang diterbitkan lebih empat dekad lalu memberi kesan mendalam dan kekal relevan hingga kini.

“Beliau dengan penuh semangat menjelaskan konsep-konsep seperti din, ‘adl, hikmah, adab, dan ta’dib, yang saya cuba terapkan dalam sistem pendidikan ketika menjadi Menteri Pendidikan pada era 1980-an,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI