TAIPING – Lebih 250 penternak kerang di kawasan perairan Perak Utara mendakwa mereka berdepan masalah apabila tidak dapat memperbaharui lesen pendudukan sementara (TOL) bagi tapak ternakan dasar laut mereka.
Difahamkan kelewatan dalam pemprosesan TOL sejak 2019 itu mengakibatkan pengusaha-pengusaha dari Bagan Panchor hingga Kuala Sepetang dan Kuala Gula menanggung kerugian besar dianggarkan lebih RM500,000 sebulan.
Pengerusi Persatuan Penternak Kerang Kuala Sepetang, Koay Seng Lam berkata, biarpun tanpa TOL yang diperbaharui atau belum menerima kelulusan untuk tapak baharu, mereka terpaksa meneruskan kegiatan ternakan di kawasan-kawasan yang masih produktif seperti di Tanjung Burung hingga ke Sungai Tiram Laut.
“Walaupun tidak ada TOL, kami tetap meneruskan ternakan kerana kawasan ini subur dengan benih kerang dan penternak mula melabur banyak wang untuk membeli benih kerang tempatan serta luar.
“Bagaimanapun, tanpa kelulusan yang sah, keadaan ini menjejaskan kelangsungan industri penternakan kerang,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Sepetang di sini hari ini.
Seng Lam berkata, selain masalah TOL, mereka terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk menggaji pekerja bagi menjaga tapak ternakan bagi mengelak kerugian lebih lanjut akibat kegiatan mencuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menurut Seng Lam, sekiranya isu ini tidak diselesaikan dengan segera, ia boleh menyebabkan konflik serius antara penternak dan pemungut kerang yang boleh mengancam keselamatan dan keharmonian komuniti nelayan setempat. – KOSMO! ONLINE