JOHOR BAHRU – Seorang pemuda maut selepas kenderaan dipandunya terbabas merempuh tiang pembahagi Plaza Tol Kempas, di sini, awal pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 6.15 pagi.
Menurut beliau, mangsa yang berusia 23 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan jenis Perodua Axia dipandu mangsa dari arah utara ke selatan hilang kawalan lalu terbabas melanggar tembok pembahagi Plaza Tol di Kilometer 7.8.
“Mangsa yang cedera parah di bahagian kepala disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Balveer Singh, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Wan Nor Affendi memberitahu, lapan anggota beserta dua buah jentera bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Anggota bertindak mengeluarkan mangsa yang terperangkap menggunakan peralatan menyelamat sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE