IPOH – Pasar-pasar awam di seluruh negara yang berusia lebih 50 tahun serta mempunyai keunikan tersendiri bakal dijadikan tempat pelancongan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming mahu setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) menyenaraikan pasar-pasar tersebut yang kemudian akan dipilih untuk dinaiktaraf supaya menarik perhatian pelancong.
Beliau memberi contoh Pasar Awam Bukit Mertajam di Pulau Pinang, Pasar Pinji serta Pasar Besar Ipoh di Perak sebagai antara prasarana pasar awam yang mempunyai nilai bersejarah.
“Setelah dinaik taraf, kita akan cadangkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) supaya ia menjadi tapak yang harus dilawati oleh pelancong asing,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah projek Pasar Pasir Pinji dan lawatan ke Pasar Canning di sini hari ini.
Kor Ming berkata, semua PBT tahu setiap pasar berusia lebih 50 tahun dalam kawasan masing-masing untuk diangkat sebagai pusat tumpuan pelancong.
“Pasar-pasar tersebut akan diberi keutamaan. Kos bagi setiap pasar berlainan bergantung kepada saiz tanah dan jumlah gerai. Tindakan ini membawa impak tinggi. Bukan sahaja kepada peniaga dan penjaja kecil malah pengguna. Ia juga menjadi pusat komuniti setempat,” katanya.
Kor Ming berkata, pasar-pasar awam terpilih ini boleh dijadikan aset pelancongan negara sempena Tahun Melawat Malaysia pada tahun 2026.
Beliau turut mengumumkan KPKT telah meluluskan RM16 juta bagi pembinaan semula Pasar Pasir Pinji dalam hasrat memberi wajah baharu reka bentuk dan kualiti kemudahan pasar yang berusia lebih 50 tahun itu. – KOSMO! ONLINE