SEREMBAN – Hasrat skuad hoki Malaysian University (MU) membawa pulang tiga mata tidak kesampaian apabila tumpas 0-2 kepada Negeri Sembilan (NS) dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025 di Stadium Hoki Seremban 2, petang tadi.
MU dibarisi enam pemain kebangsaan gagal menyaingi skuad tuan rumah yang memiliki empat pemain import dari China termasuk penjaga gol, Wu Surong.
Dalam aksi itu, NS berjaya mendahului MU pada minit ke-10 hasil jaringan Nur Atira Mohamad Ismail.
Pasukan pelawat cuba bangkit daripada ketinggalan, namun berjaya dikekang oleh barisan pertahanan NS.
Ketika para pemain MU berhempas pulas mendapatkan gol penyamaan, NS menambah duka pasukan lawan dengan menambah jaringan melalui Nur Zafira Aziz pada minit ke-58.
Kemenangan itu melonjakkan NS di tangga kedua di belakang Blue Warriors melalui dua kemenangan, seri seri dan satu kekalahan dengan kutipan tujuh mata, manakala MU kekal di kedudukan keempat. – KOSMO! ONLINE