SAAT berbincang dengan rakan-rakan untuk melakukan percutian pendek pada hujung minggu, salah seorang rakan saya mencadangkan untuk pergi ke negara jiran, Thailand.
Mulanya, kami tidak bersetuju kerana sudah kerap ke sana terutama di Hat Yai.
Namun kali ini, rakan saya mencadangkan supaya kami meneroka ke kawasan Selatan Thailand iaitu sekitar wilayah Sungai Golok, Narathiwat dan Pattani selama dua hari satu malam.
Mendengar cadangan itu, kami semua tertarik untuk ke sana dan ingin meneroka tarikan pelancongan di tiga daerah tersebut.
Perjalanan kami ke Sungai Golok bermula dengan menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Rantau Panjang, Kelantan yang mengambil masa selama 9 jam.
Sementara menunggu pejabat imigresen dibuka, kami bersantai sambil minum teh di kawasan berdekatan.
Sekitar pukul 10 pagi kami melangkah masuk ke sempadan negara Thailand dan menuju ke lokasi pertama iaitu Kedai Kak Nik, Sungai Golok untuk menjamu selera.
Pada percutian kali ini, kami memilih untuk menyewa van bersama pemandu dikenali sebagai Pak Mat yang juga merupakan warga tempatan.
Selepas menjamu selera, kami meneruskan perjalanan ke ladang garam Pattani atau Pattani Sweet Salt.
Di sana, kami bergambar di ladang garam sambil membeli-belah produk tempatan di gerai jualan yang berada di sekitar kawasan berkenaan.
Kemudian, perjalanan kami diteruskan ke Masjid Kerisik atau Krue Se untuk menunaikan solat jamak zuhur dan asar.
Untuk makluman, Masjid Kerisik turut dipanggil Masjid Sultan Muzaffar Shah atau Masjid Pintu Gerbang. Ia dikenali menerusi tragedi berdarah Masjid Kerisik pada 28 April 2004 yang menyaksikan seramai 32 orang Islam yang juga ahli kumpulan tabligh terbunuh dalam serangan bom mortar dan tembakan tentera Thailand.
Selepas menunaikan solat, kami meneruskan perjalanan ke pekan di Rusamilae, Mueang Pattani untuk makan tengah hari sebelum meneruskan perjalanan ke Pantai Penarek. Lokasi tersebut merupakan tempat wajib yang dikunjungi. Ini kerana, di situ terdapat pasar malam di tepi pantai yang menawarkan pelbagai sajian tempatan.
Sepanjang petang, kami menghabiskan masa di sana sambil menikmati keindahan pantai sebelum meneruskan perjalanan ke tempat penginapan di Narathiwat. Setelah selesai mendaftar masuk ke hotel, kami kemudian meneruskan penerokaan di sekitar Narathiwat. Kami sempat singgah di Kim Khuen Night Market.
Di sana, kami sekadar berjalan-jalan sambil membeli makan malam serta melihat gerai-gerai yang menjual pakaian terpakai.
Keesokan, kami memulakan perjalanan sekitar pukul 11 pagi dengan menuju ke sebuah kafe popular di Narathiwat, Summer Thorn Café.
Lokasi tepi pantai itu menjadi tular kerana terletak di laluan pesawat terbang pada altitud rendah. Ini sekali gus membolehkan orang ramai merakam gambar berlatarbelakangkan kapal terbang di udara.
Selepas selesai melihat kapal terbang melintasi Summer Thorn Café dan bergambar, kami meneruskan perjalanan ke sebuah kedai tempatan untuk makan tengah hari sebelum ke Masjid Telok Manok untuk solat jamak.
Masjid Telok Manok atau Masjid Wadi Al Hussein merupakan masjid tertua di Selatan Thailand yang dipercayai berusia sekitar 300 tahun.
Selepas selesai menziarah dan solat di masjid, kami meneruskan perjalanan ke lokasi terakhir iaitu Muzium Manuskrip Al-Quran Melayu Raya di Madrasah al-Ahmadiah al-Islamiah, Narathiwat.
Di sana, kami melihat banyak artifak al-Quran dan sejarah tokoh-tokoh Islam dari pelbagai negara.
Perjalanan kali ini banyak membuka mata kami tentang keindahan ‘permata’ tersembunyi, selain sejarah menarik di Sungai Golok, Narathiwat dan Pattani.