BERA – Mayat seorang lelaki Orang Asli yang terjatuh daripada bot di tengah Tasik Bera di sini petang semalam ditemukan hari ini.
Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Wan Ahmad Fadillah Wan Abdul Rahman berkata, mayat mangsa, Sabri Juarong, 46, ditemukan kira-kira pukul 10 pagi.
“Pasukan penyelam membuat selaman bermula pukul 9 pagi sejauh dua meter daripada lokasi manga dipercayai terjatuh dan mayat mangsa ditemukan pada kedalaman 2.5 meter.
“Mangsa kemudiannya dibawa naik dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,”katanya di sini hari ini.
Semalam seorang lelaki Orang Asli dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada bot ketika menyeberang Tasik Bera untuk pulang ke rumahnya. – KOSMO! ONLINE