TEMERLOH – Pertahanan Sri Pahang, Stefano Brundo muncul wira pasukan selepas meledak gol penyamaan untuk mengikat Kuala Lumpur City 1-1 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, sebentar tadi.
Bagaimanapun sepak mula perlawanan ini tertangguh kira-kira setengah jam ekoran hujan lebat dan permukaan padang yang ditakungi air nyata memberi kesan kepada persembahan kedua-dua pasukan.
Sekalipun pergerakan bola sering tersekat, Tok Gajah sepatutnya mampu menamatkan aksi dengan tiga mata namun beberapa peluang terbaik gagal disudahkan dengan lebih baik.
Serangan Sri Pahang lebih berpaksikan Mykola Ahapov, Sergio Aguero dan Manuel Hidalgo namun KL City yang tewas dalam empat perlawanan terakhir terlebih dulu membuka jaringan menerusi Kenny Pallraj pada minit terakhir babak pertama.
Walaupun takungan air makin berkurang, skrip hampir sama terus berulang di separuh masa kedua dimana pemain kedua-dua pasukan sering berdepan kesukaran untuk mencipta gerakan lebih berkualiti.
Bagaimanapun, keputusan pengadil perlawanan, Amirul Izwan Yaacob melihat ulang tayang Video Bantuan Pengadi (VAR) berjaya mengesan kesalahan bola terkena tangan pertahanan KL City, Adrijan Rudovic dalam kotak penalti.
Brundo yang diamanahkan mengambil sepakan penalti tenang menyempurnakan peluang itu untuk mengesahkan gol penyamaan Tok Gajah. – KOSMO! ONLINE