KETUA jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi mengakui pasukannya beraksi di bawah tahap sebenar selepas keciciran mata penting apabila seri 1-1 bertemu Penang FC di Stadium Bandaraya semalam.
Kata Kinoshi, faktor hujan lebat pada awal perlawanan menyukarkan pemain untuk beraksi seperti biasa meskipun mendahului menerusi jaringan Ronnie Fernandez pada minit ke-10.
“Sukar untuk beraksi kerana hujan terlalu lebat, jadi kami tidak dapat bermain bola sepak dengan baik dan pemain harus menyesuaikan diri.
“Situasi berbeza pada babak kedua apabila pasukan berusaha untuk mendominasi perlawanan tetapi tidak bernasib baik dibolosi saat akhir.
“Jujurnya kami tidak gembira dengan satu mata kerana itu bukanlah mentaliti juara. Saya harap kami dapat menyerap tekanan dengan melakar kemenangan pada aksi seterusnya,” kata pengendali Jepun berusia 60 tahun itu.
Misi Gergasi Merah untuk meraih tiga mata tidak kesampaian apabila kapten Harimau Kumbang, Rafael Vitor menyamakan kedudukan pada masa kecederaan. – KOSMO! ONLINE