KUALA TERENGGANU – Laporan perubatan lelaki orang kelainan upaya (OKU) mental yang dipukul di Pasar Tani Padang Astaka, Kemaman minggu lalu masih belum disiapkan pihak hospital.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia disebabkan mangsa iaitu Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, atau Paijang masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.
“Berdasarkan maklum balas, pihak hospital masih belum mempunyai tarikh khusus bagi menyelesaikan kes (laporan) perubatan lelaki itu (Paijang).
“Dia masih masih berada di wad dan di bawah pemantauan hospital. Keadaannya stabil,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini Jabatan Peguam Negara pada Jumaat lalu telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapatkan laporan lengkap perubatan Paijang bagi melengkapkan kertas siasatan kes tersebut.
Setakat ini, enam individu berusia dalam lingkungan 18 hingga 60 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan lelaki OKU itu dipukul setelah melanggar sebuah gerai di pasar tani tersebut pada pukul 9.30 pagi, 17 Januari lalu.
Buat masa ini, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang dianggap sebahagian pengamal undang-undang terlalu ringan berbanding perbuatan pelaku terhadap Paijang yang telah tular di media sosial. – KOSMO! ONLINE