fbpx

Konvoi perkenal Proton Limousin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERETA limousin jenis Proton Saga dan Iswara antara kenderaan yang menyertai aktiviti konvoi anjuran Kumpulan Pemilik Limousine Malaysia.

KENDERAAN jenis Proton Limousin agak sukar dilihat di atas jalan raya pada masa kini. Biarpun kurang terlihat, namun itu tidak bermakna tiada pihak yang meminati kenderaan berkenaan. 

Menganggap ia sebagai unik, maka sekumpulan pemilik kenderaan jenis limousin atau ‘kereta roti john’ sepakat untuk berkongsi minat dan kecintaan dengan melakukan aktiviti konvoi. 

Menurut penggerak aktiviti Kumpulan Pemilik Limousine Malaysia yang mesra dipanggil Wak Man, 59, grup itu diwujudkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 pada 2020. 

Disebabkan tidak dapat merentas sempadan negeri dan menikmati perjalanan dalam kenderaan melebihi seorang, maka timbul minat untuk mewujudkan grup tersebut. 

Berawal dengan suka-suka, kini ahli kumpulan pemilik kereta limousin itu sudah mencecah lebih 100 orang. 

“Waktu PKP dulu, tidak banyak aktiviti yang boleh dibuat. Kebetulan, salah seorang penduduk Kampung Bukit Kapar, Klang (Selangor) meminati kereta limousin. 

“Apabila kawan-kawan melihat, ada yang turut sama minat dan membeli kereta jenis itu. 

“Lama-kelamaan semakin ramai penduduk kampung berminat memiliki Proton Limousin sehingga wujudnya kumpulan ini. 

“Sejak itu, saya memulakan gerakan aktiviti konvoi untuk memberitahu masyarakat tentang kewujudan kereta jenis limousin ini,” katanya ketika dihubungi CitaRasa. 

KEADAAN kereta akan diperiksa terlebih dahulu sebelum aktiviti konvoi bermula bagi mengelak sebarang masalah ketika dalam perjalanan.

 

Bercerita tentang aktiviti kembara yang dilakukan pada 8 Disember tahun lalu, Wak Man berkata, sebanyak 17 kenderaan limousin termasuk jenis Proton Saga Limousin, Proton Iswara Aeroback Limousin dan dua Proton Saga Executive menyertai konvoi ke Pangkor, Perak. 

Katanya, setiap kali kumpulan konvoi memasuki kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya, pasti akan ada individu yang bertanyakan tentang kereta tersebut. 

Memandangkan kenderaan berkenaan tidak selalu terlihat di atas jalan raya, maka Wak Man dan rakan-rakan akan mengambil peluang menjadikan aktiviti konvoi sebagai salah satu bentuk pendidikan kepada masyarakat mengenai Proton Limousin. 

“Kenderaan ini mungkin tidak ramai yang tahu. Generasi sekarang juga mungkin ada yang tidak sedar kewujudan kereta ini. 

“Jadi, dengan adanya aktiviti konvoi ini, ia secara tidak langsung memberi peluang kepada khalayak untuk mengetahui.

LEBIH 30 peserta Kumpulan Pemilik Limousine Malaysia dari Kampung Bukit Kapar menyertai aktiviti konvoi ke Lumut, Perak pada akhir tahun lalu.

“Kami melakukan aktiviti konvoi bukan sahaja untuk mengeratkan hubungan sesama ahli, malah ingin memberitahu masyarakat tentang kewujudan kenderaan ini. 

“Ketika kami melakukan penjelajahan, masyarakat memberi reaksi positif dan tertarik dengan kenderaan limousin. 

“Mereka berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang penjagaan kereta ini dan peluang untuk peminat baharu memiliki kenderaan limousin,” katanya. 

Dalam pengembaraan itu, kira-kira 34 ahli terlibat memulakan perjalanan pada pukul 8 pagi dari Klang bagi memastikan mereka tiba di jeti di Lumut pada pukul 11.30 pagi. 

“Ketika berkumpul, kami akan melakukan beberapa aktiviti bagi mengeratkan ukhuwah sesama ahli dan memastikan kebajikan para peserta. 

“Begitu juga soal keselamatan di atas jalan raya. 

“Saya selalunya akan menjadi marshall bagi memastikan setiap kenderaan mematuhi ketetapan keselamatan. 

“Saya akan pastikan jarak antara kereta selamat, begitu juga dengan jadual perjalanan. 

“Sekiranya ada kenderaan yang ingin berhenti di R&R, saya akan maklumkan agar kenderaan lain tunggu di mana-mana terlebih dahulu. 

“Begitu juga dengan keadaan kereta, kami akan pastikan kenderaan ahli berada pada tahap memuaskan agar tidak mengalami kerosakan ketika konvoi ” jelasnya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI