MELBOURNE – Air mata pemain tenis Amerika Syarikat (AS), Madison Keys tumpah selepas dia meraih gelaran Grand Slam pertama dalam kariernya ketika muncul juara pada kejohanan Terbuka Australia.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Rod Laver Arena semalam, pemain berusia 30 tahun itu melakar kejutan dengan menewaskan pilihan utama dari Belarus, Aryna Sabalenka 6-3, 2-6, 7-5.
Lebih manis, kejayaan itu hadir lapan tahun selepas kali terakhir dia melakukan penampilan di pentas final dalam kejohanan utama ketika menjadi naib juara pada Terbuka Amerika Syarikat bagi edisi 2017.
“Sejak dari muda lagi saya menganggap saya gagal untuk memenuhi potensi yang ada dalam diri sekiranya tidak dapat memenangi gelaran Grand Slam. Sejujurnya, ia merupakan satu beban yang cukup berat untuk saya.
“Sekarang saya berjaya sampai ke satu tahap di mana saya boleh berbangga dengan diri sendiri dan karier. Sebelum ini, saya sudah tidak kisah jika gagal mencapai impian tersebut,” kata Keys yang mula membuat debut profesional pada 2009.
Kemenangan itu turut menyaksikan dia berjaya menyekat hajat Sabalenka yang menggalas misi untuk memahat sejarah tersendiri dengan memenangi Terbuka Australia buat kali ketiga berturut-turut.
“Sepanjang kejohanan ini, saya sentiasa bercakap dengan diri sendiri dan itu membuatkan saya boleh menampilkan aksi terbaik. Tidak sangka ia membantu saya sehingga memenangi Grand Slam,” ujar Keys. – AGENSI