fbpx

Kes pukul OKU: Influencer buat hantaran berbaur ugutan ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar daripada video menunjukkan sekumpulan lelaki membelasah pak cik OKU di Kemaman baru-baru ini.

KEMAMAN – Seorang pempengaruh ditahan hari ini bagi membantu siasatan mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan di media sosial berhubung kes lelaki orang kelainan upaya (OKU) dipukul di pasar pagi minggu lalu.

Lelaki berusia 36 tahun itu diberkas di sebuah hotel di Segamat, Johor pada pukul 6.55 pagi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, penahanan itu berikutan aduan diterima daripada seorang lelaki berusia 40 tahun pada Khamis lalu.

“Lelaki itu mendakwa salah satu hantaran pempengaruh terbabit di media sosial berhubung kes OKU dipukul (di pasar tani) berbentuk ugutan dan mendatangkan kegusaran awam.

“Pempengaruh yang bukan berasal dari Terengganu tersebut telah direman sehingga esok bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Wan Muhamad berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu seorang lelaki OKU mental telah dipukul dan disepak beberapa individu dipercayai peniaga dan pelanggan Pasar Pagi Padang Astaka Chukai pada pukul 9.30 pagi, 17 Januari lalu.

Insiden dipercayai berpunca rasa tidak puas hati selepas motosikal ditunggangi mangsa dikatakan terlanggar sebuah gerai di pasar tani terbabit sehingga menyebabkan makanan jualan tertumpah ke atas jalan.

Setakat ini, enam individu berusia 18 hingga 60 tahun telah ditahan bagi membantu siasatab mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI