KLANG – “Kita terbuka dan itu hak mereka untuk serah memorandum.”
Itu kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengenai 1,000 pesawah yang mahu menghantar memorandum berhubung isu isu harga belian padi kepada Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya esok.
Menurutnya, kerajaan bersikap terbuka dalam menerima pandangan semua pihak termasuk pesawah berhubung isu tersebut.
“Tidak mengapa, itu hak mereka untuk menghantar memorandum dan sebagainya.
“Kita akan ikuti dengan perbincangan secara intensif bersama semua pihak. Sehingga sidang Parlimen akan datang, kita akan membuat beberapa pengumuman mengenainya,” katanya pada sidang akhbar penutupan Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) 2024 di Bandar Bestari di sini, petang ini.
Tambah Mohamad, perbincangan lanjut juga sedang dilakukan kementeriannya bersama Padiberas Nasional Berhad (Bernas).
“Kita akan buat beberapa penambahbaikan dan peningkatan (harga) selepas itu. Saya tidak umum kerana ia masih belum siap. Mungkin diumumum pada sidang Parlimen akan datang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE