fbpx

Kenali 11 rumah tradisi Melayu di Karai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KWB kini menjadi salah satu destinasi percutian berkonsepkan ekopelancongan di Karai, Perak.

TERLETAK kira-kira 8 kilometer (km) dari Bandar Diraja Kuala Kangsar, Perak, sebuah pusat peranginan bercirikan tradisi Melayu iaitu Kampung Warisan Budaya (KWB) sesuai dijadikan destinasi percutian bersama insan tersayang.

Binaan monumen yang menerapkan ciri-ciri rumah Melayu lama membuatkan KWB menjadi salah satu tarikan utama di Karai, sekali gus membantu warga setempat menjana ekonomi. Terletak berhampiran Jambatan Victoria dan kurang 10km dari Masjid Ubudiah, tempat tarikan itu memiliki 11 buah chalet yang menyerupai rumah tradisional Melayu, mewakili setiap negeri di Semenanjung Malaysia. 

Sebahagian daripada rumah tradisional itu dilengkapi ruang pameran pada bahagian bawah yang mempamerkan peralatan dan kelengkapan digunakan oleh masyarakat dahulu. Antaranya seperti kelengkapan memasak, tanaman, perangkap ikan dan barangan yang digunakan untuk memproses susu getah. 

Menurut pemiliknya, IDr. Ar. Mior Zawari Hassan, tujuan utama KWB diwujudkan adalah sebagai rujukan kepada generasi muda tentang keunikan seni bina Melayu agar tidak luput ditelan zaman. “Sekiranya kita tidak mempamerkan kepada generasi baharu, maka mereka tidak berpeluang untuk mempelajari atau mengetahui tentang sejarah bangsa Melayu menerusi binaan rumah. 

“Disebabkan itu, saya melengkapkan pusat peranginan ini dengan 11 binaan rumah tradisional Melayu yang membolehkan pengunjung bermalam. 

“Di sini, terdapat sebuah Kompleks Rumah Adat yang menjadi tradisi perkampungan Melayu untuk mengadakan upacara adat istiadat seperti Rumah Gadang Minangkabau.

SALAH sebuah rumah tradisional Melayu yang dipamerkan di KWB.

 “Di dalam Rumah Adat ini ditempatkan sebuah ruang pameran iaitu Galeri Warisan yang mempamerkan  peralatan tradisional. 

“Antaranya adalah peralatan memasak, pengangkutan dan beberapa kelengkapan harian yang digunakan oleh nenek moyang kita dahulu,” katanya kepada CitaRasa. Dianggarkan terdapat kira-kira 150 barangan pameran yang menjadi khazanah warisan negara dipamerkan di situ. 

Misalnya, nyiru untuk menampi beras, mesin menumbuk padi, basikal antik, kelengkapan perkahwinan tradisional dan pelbagai kain tenunan. Selain itu, terdapat ruang dikenali sebagai Anjung Budaya yang  menyediakan aktiviti Pasar Seni Warisan dan Budaya pada setiap hujung minggu.

Pasar tersebut memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk menjual produk mereka kepada pengunjung. 

Bagi menggalakkan penyertaan peniaga, ruang niaga tersebut disediakan secara percuma, sekali gus membolehkan mereka menjual dan mempamerkan hasil seni.

Antara hasil seni yang dijual dan dipamerkan adalah lukisan, produk seni tekat, herba serta labu sayong.

PENGUNJUNG meluangkan masa di Pasar Seni Warisan dan Budaya untuk melihatkan hasil kraf tangan penduduk setempat.

Selain itu, terdapat kira-kira 200 buah buku berkaitan seni bina rumah tradisional turut dipamerkan di Galeri Warisan. 

“Sejak mula beroperasi pada tahun lalu, dianggarkan sekitar 7,561 pengunjung melawat KWB. Para pengunjung berpeluang melihat khazanah negara yang semakin hilang. 

“Replika rumah tradisional ini memberi kefahaman tentang keunikan ciri-ciri rekaan rumah tradisional yang disesuaikan dengan keadaan persekitaran, iklim, keselamatan, pengudaraan, pencahayaan dan kemahiran pertukangan,” tambahnya. 

Di samping itu, terdapat sebuah kumpulan muzik yang terdiri daripada penduduk tempatan akan menghiburkan para pengunjung ketika menikmati aneka hidangan tradisi Perak di Kafe Tok Enda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI