KOTA BHARU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan terpaksa melepaskan tiga das tembakan pada bahagian tayar belakang sebuah lori bagi mematahkan cubaan menyeludup rokok bernilai lebih RM1 juta di Kampung Mat Kancil, Pasir Mas dekat sini pada Rabu lalu.
Rampasan rokok itu dilakukan kira-kira pukul 6.15 pagi hasil maklumat intipan dan risikan yang dilakukan oleh anggota bertugas.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata,, anggota bertugas memperkenalkan diri semasa menghampiri lori itu sebelum suspek yang berusia 20-an bertindak agresif dengan cuba merempuh pasukan operasi.
Katanya, sebagai tindakan mempertahankan diri, anggota JKDM melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar belakang sebelah kanan lori.
“Suspek kemudian bertindak memandu lori dalam keadaan tayar yang pancit dan anggota bertugas terus mengekorinya sejauh dua kilometer dari Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang.
“Lelaki itu memberhentikan kenderaan dipandunya di tepi jalan Kampung Mat Kancil sebelum melarikan diri ke kawasan semak,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Kelantan di sini hari ini.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, pemeriksaan ke atas lori terbabit telah menjumpai sebanyak 124 peti rokok yang dipercayai diseludup dari Thailand menerusi pangkalan haram di Tumpat.
Katanya, anggaran rampasan rokok termasuk cukai dianggar berjumlah lebih RM1 juta termasuk duti import.
“Kesemua rokok tersebut berkemungkinan untuk dijual di pasaran sekitar Kelantan. Kes disiasat mengikut disiasat mengikut Seksyen 136 Akta Kastam 1967,” katanya. – KOSMO! ONLINE