fbpx

Karnival Kesihatan Madani tingkat kesedaran penyakit NCD, kanser serviks

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Wan Azizah ketika merasmikan Karnival Kesihatan Madani berlangsung di Parlimen Bandar Tun Razak, semalam. Foto Ihsan Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak.

PETALING JAYA – Dalam usaha memperkukuh kesedaran awam terhadap kepentingan kesihatan dan kesejahteraan rakyat, Karnival Kesihatan Madani telah berlangsung meriah di Parlimen Bandar Tun Razak sempena Bulan Kesedaran Kanser Serviks 2025.

Dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak, Yayasan MyPrihatin dan pelbagai agensi kesihatan, karnival ini menawarkan pelbagai perkhidmatan saringan kesihatan bertujuan menggalakkan pengesanan awal penyakit tidak berjangkit (NCD) serta meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap bahaya kanser serviks.

Dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail semalam, karnival ini menjadi platform penting bagi mendidik masyarakat tentang langkah pencegahan penyakit, sekali gus menyokong agenda Malaysia Madani ke arah kesejahteraan yang inklusif.

Karnival itu menawarkan pelbagai perkhidmatan kesihatan seperti pemeriksaan penyakit tidak berjangkit (NCD), saringan kesihatan jantung, kanser serviks dan mammogram.

Selain itu, turut diadakan pemeriksaan pergigian, perkhidmatan rehabilitasi serta kaunter derma darah untuk masyarakat setempat.

Dalam ucapannya, Dr. Wan Azizah menekankan kepentingan saringan awal penyakit berkaitan NCD agar ia boleh dicegah awal selain mengelak dari komplikasi lebih serius.

“Saringan NCD untuk mengesan penyakit ini diperingkat awal ini adalah sangat penting kerana jika dapat dikesan lebih awal, maka intervensi awal boleh dilakukan untuk mencegah komplikasi yang lebih serius dan kos yang tinggi dapat dikurangkan.

“Penyakit yang lambat dikesan akibatnya boleh menjadi sangat parah, menyebabkan
rawatannya lebih rumit serta mengurangkan peluang untuk pulih sepenuhnya,” katanya.

Pada karnival itu, beliau turut menyampaikan sumbangan Bakul Ihsan Madani kepada 700 penerima daripada golongan kurang berkemampuan di kawasan itu.

Menurut laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, 50.1 peratus penduduk dewasa Malaysia adalah obes atau berlebihan berat badan, hiperkolesterolemia (38.1 peratus), hipertensi (30 peratus), dan diabetes (18.3 peratus).

Karnival ini turut memperingati sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks yang disambut pada Januari setiap tahun.

Sambutan ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang penjagaan kesihatan wanita dan menggalakkan saringan kesihatan serviks, di samping menyokong golongan yang telah pulih daripada kanser serviks. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI