fbpx

‘Kami bingung suspek tak pernah mengadu dibuli’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN rumah dan kenderaan milik Mohamad Zamri yang musnah terbakar di Kampung Bukit Terabak, Baling.

BALING – “Kenapa sekarang, sedangkan dia (suspek) telah berhenti kerja di sini lebih dua tahun lalu, tiba-tiba rakan-rakan dan orang ramai bertanya sama ada kami yang membulinya”.

Demikian persoalan dan kekecewaan disuarakan salah seorang daripada 200 pekerja di sebuah kilang getah ketika ditemui di Kampung Chenerai, Kuala Pegang di sini semalam.

Menurut pekerja yang berkhidmat lebih 10 tahun di kilang berkenaan dan enggan dikenali, tuduhan itu menyebabkan mereka menanggung malu dan tertekan dengan dakwaan suspek bahawa dirinya telah menjadi mangsa buli di tempat kerja.

“Kami bingung, suspek tidak pernah mengadu dibuli sebelum berhenti kerja, seingat saya, dia pekerja yang rajin tetapi lebih banyak menyendiri. Ketika dia hendak berhenti kerja, dia beritahu kami telah mendapat tawaran kerja lain.

“Dia berhenti dengan cara baik, malah bersalaman dan mengucapkan selamat tinggal, tidak ada pun tanda-tanda ketegangan ataupun pertelingkahan antara dia dengan pekerja lain,” katanya.

Kosmo! pada 23 Januari lalu melaporkan dendam akibat dibuli di tempat kerja disyaki menjadi punca seorang lelaki bertindak membakar sembilan rumah di Kupang, Baling sejak pertengahan bulan lalu hingga awal bulan ini.

Suspek berusia 23 tahun yang merupakan penganggur dan penduduk di Kupang ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah malam, Isnin lalu.

Dalam pada itu, seorang lagi pekerja, Mohamad Zamri Ahmad, 45, berkata, dakwaan suspek itu merupakan satu tamparan hebat selepas rumahnya musnah terbakar dalam insiden pada 24 Disember lalu.

“Sudahlah rumah, kereta dan motosikal musnah dalam kebakaran itu, kini, saya dan isteri perlu berdepan dengan tuduhan tidak berasas bahawa saya telah membulinya.

“Kami pun tidak bekerja pada syif yang sama, tetapi pengguna media sosial menyalahkan kami kerana kononnya membulinya. Adakah itu adil?” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Terabak semalam.

Zamri menegaskan, dia tidak pernah menyakiti suspek dan juga mempersoalkan mengapa suspek membuat dakwaan itu sekarang, hanya selepas dia ditangkap polis atas kesalahan membakar rumah.

“Saya serahkan kepada polis. Apa yang saya mahu lakukan sekarang adalah membersihkan nama saya,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI