SENI kaligrafi tulisan Cina atau juga disebut sebagai khat Cina bukan sahaja cantik, bahkan mempunyai maksud tertentu seperti tuah dan keharmonian.
Ia turut menjadi salah satu elemen penting untuk masyarakat Tionghoa yang menjadikan seni tersebut sebagai hiasan di rumah ketika menyambut Tahun Baharu Cina.
Selain tulisan atau simbol, seni kaligrafi itu juga dihasilkan dalam bentuk lain seperti burung dan bunga.
Artis kaligrafi Cina dan Pengasas @37decraft, Kelly Lee, 39, menyifatkan kaligrafi Cina sebagai terjemahan kepada pelbagai maksud dalam masyarakat Cina.
“Kaligrafi Cina ini tidak hanya dihasilkan sempena Tahun Baharu Cina, tetapi boleh dihasilkan pada bila-bila masa.
“Bezanya, kaligrafi yang saya hasilkan untuk Tahun Baharu Cina adalah lebih moden dan berwarna-warni, sebagai melambangkan tuah dan kemeriahan sambutan perayaan itu,” katanya kepada CitaRasa.
Kelly yang sebelum ini merupakan seorang wartawan mula berjinak-jinak dengan kaligrafi Cina sejak enam tahun lalu. Anak kelahiran Kuala Lumpur itu mahu ‘lari’ dari kaligrafi Cina yang biasa dilihat lantas dia menghasilkan kaligrafi yang lebih moden dengan penggunaan warna-warna lebih ‘bold’.
“Jika dilihat, warna-warna yang saya gunakan bagi seni kaligrafi ini lebih bersifat bold atau boleh saya katakan sebagai warna yang ‘solid’.
“Bahkan, cat air yang saya gunakan juga mempunyai kepekatan yang lebih tinggi supaya boleh menghasilkan karya seni dalam rona yang lebih terang dan jelas.
Ia berbeza dengan kaligrafi yang biasa dilihat sebelum ini kerana saya menggunakan sentuhan untuk menjadikan seni klasik menjadi lebih menarik,” katanya.
Kelly menambah, dia memilih gabungan bunga dan burung sebagai dua simbol utama bagi karya kaligrafinya.
“Bunga dan burung adalah dua hidupan alam yang memerlukan antara satu sama lain.
Gabungan dua elemen ini adalah sebagai simbolik kepada hidup harmoni, kebahagiaan dan tuah,” jelasnya.
Wanita itu lazimnya mengambil masa antara 10 hingga 20 minit untuk menghasilkan satu karya kaligrafi Cina bersaiz kecil. Namun, bagi karya yang sedikit rumit, ia memerlukan masa yang sedikit panjang.
Kelly berkata, antara karya kaligrafi Cina yang paling istimewa baginya adalah berkaitan dengan nama keluarganya atau surname iaitu Lee yang dihasilkan dalam dua versi berbeza.
Selain seni kaligrafi Cina, Kelly turut menghasilkan beberapa jenis kaligrafi moden lain seperti tulisan cursive pada kad jemputan perkahwinan dan juga ukiran pada permukaan kaca.