fbpx

Juadah autentik Bajau Sabah di KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LEDIA menunjukkan antara hidangan istimewa yang boleh dinikmati di restoran Ikan Bakar Semporna di Metro Prima, Kuala Lumpur baru-baru ini. – Saddam Budi

KELEMBUTAN isi ikan belawis bakar memberikan keseimbangan rasa saat ia dijamah bersama kulitnya yang garing dan disapu dengan sira madu. 

Kesegaran ikan yang diimport khas dari perairan Sabah tersebut juga jelas terasa sehingga membuatkan penulis membayangkan seperti berada di Negeri di Bawah Bayu. 

Makanan signatur masyarakat Bajau tersebut boleh dinikmati orang ramai di restoran Ikan bakar Semporna di Jalan Prima 7, Metro Prima, Kuala Lumpur. 

Sekiranya mahu menikmati juadah tersebut dengan cara autentik masyarakat Bajau, pelanggan dicadangkan untuk menjamahnya bersama putu atau sianglar. 

Putu merupakan ubi kayu yang direbus, manakala sianglar merupakan ubi kayu yang disagat dan digoreng tanpa minyak. 

Kedua-dua makanan tersebut makanan ruji masyarakat Bajau sama seperti nasi bagi masyarakat umum di Malaysia. 

Menurut wakil pemilik restoran, Ledia Salleh, resipi ikan belawis bakar tersebut merupakan resipi arwah bapa mereka yang diwarisi turun-temurun. 

PUTU iaitu ubi kayu yang dikukus enak untuk dinikmati bersama ikan bakar belawis.

“Rahsia di sebalik populariti ikan belawis ini adalah resipi sira madu yang dibancuh khas mengikut resipi warisan ayah saya dahulu. 

“Sira madu yang manis sesuai dengan rasa lemak-lemak segar ikan, sekali gus memberikan pelanggan kepuasan sama seperti di Sabah,” katanya kepada CitaRasa. 

Untuk pengetahuan, restoran tersebut merupakan milik adik Ledia iaitu Fatimah dan memiliki sebuah lagi cawangan di Shah Alam, Selangor.

Selain daripada ikan belawis bakar, restoran turut menawarkan ikan Uji Rashid, putih, pogot, merah dan pari yang turut diimport dari Sabah. 

Ikan-ikan tersebut boleh dipilih mengikut berat yang pelanggan mahukan iaitu daripada 200 gram sehingga satu kilogram. 

Bagi yang memiliki cita rasa ‘kayangan’, mereka boleh menikmatinya menerusi isi udang galah yang pejal dan berlemak bersama kuah buttermilk. 

Lebih menarik, pelanggan boleh memesan udang galah dengan pilihan berat antara 50 hingga 200 gram. 

HIDANGAN masyarakat Bajau mementingkan kesegaran.

Dalam pada itu, terdapat dua jenis kerabu masyarakat Bajau yang wajib dicuba pelanggan iaitu kerabu agar-agar (rumpai laut) dan kinilau (ikan mentah). 

Untuk mereka yang tidak mahu kerabu, mereka boleh memesan latok atau anggur laut yang rangup dan berjus. 

Tambah Ledia, kebanyakan juadah masyarakat Bajau dihidang mentah kerana mereka secara tradisinya memiliki akses kepada  bahan-bahan yang segar dari laut. 

“Masyarakat Bajau dan Bajau Laut memiliki persamaan iaitu kebanyakan juadah kami dihidangkan mentah seperti ikan, rumpai laut dan sebagainya. 

“Ini kerana masyarakat Bajau tinggal di pesisir pantai, manakala masyarakat Bajau Laut tinggal di rumah tengah laut. 

“Sebagai contoh, kerabu agar-agar, kinilau dan latok dihidangkan mentah. Cuma ia akan dipasangkan dengan sos atau asam limau,” katanya.

Tidak lengkap juga makanan Borneo jika tidak dihidang bersama set ambuyat yang disajikan bersama kangkung goreng, kerabu ikan bilis, gulai ikan sardin serta potongan cili dan limau. 

Namun, jika pelanggan tidak mahu makanan berat, mereka boleh mencuba mi Sabah yang memiliki kuah likat dengan rasa smokey.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI