SEPANG – Jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar memasang impian untuk sekali lagi bersemuka dengan petarung Colombia, Johan Estupinan pada pertarungan ONE Championship akan datang.
Petarung berusia 19 tahun itu berkata, dia sudah belajar sesuatu daripada kekalahan itu dan sedia mengubah corak pertarungan yang mampu membantunya untuk menewaskan setiap lawan pada masa hadapan.
Justeru, Johan yang lebih mesra dengan panggilan Jojo itu meramalkan pertarungan antara dia dan Estupinan akan berlaku sekali lagi tahun ini, namun menganggap seelok-eloknya pada penghujung 2025.
“Insya-Allah sudah tentu saya mahukan pertarungan semula dengan Estupinan tetapi belum ada apa-apa pengesahan. Tidak ada masalah untuk bertarung dengan Estupinan tetapi rasanya lebih baik hujung tahun ini.
“Pertarungan akan datang memang saya akan ubah strategi serta perancangan. Kalau dari aspek fizikal dan mental, memang sudah bersedia tetapi inilah sukan muay thai, ada menang dan kalah,” katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.
Pada pertarungan ONE Championship 170 di Impact Arena, Bangkok, Thailand kelmarin, Johan terpaksa akur tewas kepada Estupinan menerusi keputusan sebulat suara walaupun sudah memberikan tentangan sengit.
Sementara itu, Johan yang bernaung di bawah Rentap Muay Thai Gym turut menjelaskan, dia sedia untuk mempraktikkan teknik bertarung Estupinan bagi meningkatkan lagi kualiti pertarungannya.
“Gaya pertarungannya (Estupinan) sukar dibaca kerana berbeza daripada petarung-petarung yang pernah saya jumpa. Memang boleh dibawa teknik itu untuk pertarungan akan datang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE