fbpx

Indonesia Masters: Wei Chong-Kai Wun julang kejuaraan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WEI CHONG (kiri) dan Kai Wun meraih gelaran sulung musim ini selepas muncul juara pada Indonesia Masters. - SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menamatkan kemarau kejuaraan lebih setahun apabila berjaya merangkul gelaran pada Kejohanan Badminton Indonesia Masters.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta sebentar tadi, pasangan No.13 dunia itu menewaskan wakil tuan rumah, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 21-11, 21-19.

Lebih manis, kemenangan tersebut turut menyaksikan Wei Chong-Kai Wun melakar sejarah tersendiri apabila menjadi beregu lelaki pertama negara yang memenangi kejohanan Jelajah Dunia Super 500 itu.

Meskipun beraksi di gelanggang lawan, namun pasangan tersebut menunjukkan kekuatan mental yang cukup baik apabila kekal tenang sepanjang perlawanan biarpun berdepan sokongan padu penyokong tuan rumah.

Selaku juara, Wei Chong-Kai Wun membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,525 (RM164,284) berserta pingat manakala Fajar-Rian berpuas hati dengan AS$18,050 (RM79,022) dan juga pingat.

Sebagai rekod, kali terakhir mereka meraih kejuaraan dalam saingan Jelajah Dunia adalah ketika memenangi kejohanan Terbuka Taiwan pada 2023 menewaskan pasangan tuan rumah, Lu Ching Yao-Yang Po Han.

PEARLY-THINAAH terpaksa berpuas hati hanya membawa pulang gelaran naib juara. – SHIDDIEQIIN ZON

Sementara itu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah gagal untuk menamatkan kemarau kejuaraan selepas tewas 12-21, 21-17, 18-21 kepada Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan.

Kekalahan itu turut menyaksikan mereka kempunan untuk membalas dendam terhadap kekalahan yang dialami pada aksi separuh akhir Terbuka India yang berlangsung di New Delhi minggu lalu.

Kali terakhir Malaysia muncul juara Indonesia Masters dalam acara beregu wanita adalah menerusi gandingan Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang melakukannya pada edisi 2011. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI