PETALING JAYA – Meski ramai peminat tidak sabar menanti, pelakon Datin Intan Najuwa masih belum bersedia berkongsi wajah anak sulungnya, Imane Lunara dalam platform media sosial.
Pun begitu, menerusi sebuah klip siaran langsung dalam TikTok, Intan atau nama sebenarnya Intan Najuwa Abdul Wahid, 28, mendedahkan wajah Lunara mirip bapanya, Datuk Ahmad Asraf Azman.
“Lunara ikut muka ayah dia. Muka saya, sikit je.
“99 peratus ikut muka ayah, memang betul ‘copy paste’,” katanya.
Dalam sesi siaran langsung tersebut, Intan turut berseloroh mengenai rasa tidak puas hati kerana wajah anak lebih menyerupai suaminya.
“Kita yang mengandung tapi ikut muka bapa dia. Sakit pula hati kita awak,” ujarnya tertawa.
Perkongsian itu mendapat perhatian netizen yang rata-rata mengakui tidak sabar untuk melihat wajah comel Imane.
“Walaupun muka ikut bapa, cantik dia mesti macam ibu juga,” tulis seorang pengguna TikTok.
“Tak sabar nak tengok muka penuh Lunara, mesti secantik mama dia,” komen netizen.
Intan mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Asraf pada 18 Ogos 2023.
Pasangan itu menyambut kelahiran cahaya mata perempuan mereka, Imane Lunara, pada 15 Disember lalu. – KOSMO! ONLINE