PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di 12 negeri petang ini.
Menurut MetMalaysia, amaran cuaca buruk sehingga pukul 6 petang itu melibatkan seluruh kawasan di Pulau Pinang dan Melaka.
Amaran ribut petir juga melibatkan Langkawi, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah, manakala di Perak melibatkan Hulu Perak, Kampar, Batang Padang dan Muallim.
“Bagi Kelantan pula, amaran ribut petir melibatkan Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai, manakala di Terengganu pula melibatkan Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.
“Keadaan sama juga dilaporkan melanda Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut dan Kuantan di Pahang, manakala di Selangor melibatkan Sabak Bernam dan Kuala Selangor,” katanya.
Dalam pada itu, Negeri Sembilan turut menerima amaran sama di Port Dickson dan Rembau, serta Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru di Johor.
Sementara itu, amaran sama diberikan di Sibu (Selangau), Mukah (Matu, Dalat dan Mukah), Bintulu, Miri dan Limbang di Sarawak, dan Pedalaman (Sipitang, Tenom, Beaufort dan Keningau), Pantai Barat (Papar) dan Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) di Sabah.
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 millimeter sejam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE