MANCHESTER – Pemain tengah Manchester United, Bruno Fernandes enggan lagi melihat peminat pasukan itu berdepan tekanan mahupun kemurungan ekoran aksi tidak menentu ditampilkan skuad The Red Devils.
Justeru, dia berharap United dapat melakukan kebangkitan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas dimalukan Brighton menerusi kekalahan 1-3 meskipun beraksi di Old Trafford minggu lalu.
Selepas menang 2-1 ke atas Rangers pada aksi Liga Europa kelmarin, Fernandes menganggap United sudah mula mendapat keyakinan dan sedia mengekalkan rentak kemenangan ketika bertemu Fulham di Craven Cottage awal pagi esok.
“Sudah tentu kami tahu betapa bermaknanya kemenangan kepada semua penyokong. Saya ingin mereka tahu, sekiranya penyokong mengharapkan kemenangan dalam setiap perlawanan, kami juga seperti mereka.
“Kami bermula cukup baik tahun ini, terutamanya bertemu Liverpool, Arsenal dan Southampton tetapi semuanya serba tidak kena ketika menentang Brighton. Sebagai pemain, kami sepatutnya menunjukkan karakter yang lebih baik,” katanya.
United pastinya terdesak untuk membawa pulang tiga mata ketika bertemu Fulham awal pagi esok memandangkan mereka berdepan kemungkinan jatuh ke tangga ke-15 sekiranya seri ataupun tewas.
“Kami perlu cari jalan bagaimana untuk memenangi perlawanan kerana United sering melepaskan gol pada minit-minit akhir. Saya tidak mahu peminat pasukan ini terbiasa dengan kekalahan,” ujar Fernandes. – AGENSI