SHAH ALAM – Perjuangan Eylia Guntabid bernoktah apabila diumumkan sebagai peserta yang tersingkir pada konsert suku akhir Calpis Soda One In A Million (CSOIAM), di sini, malam ini.
Eylia meraih markah tercorot selepas penilaian juri tetap, Datuk Yusry Abdul Halim, Ziana Zain dan Cakra Khan serta juri jemputan, Alif Satar.
Ini bermakna lima lagi peserta iaitu Zazzleen, Mariam, Kai Deva, Marygrace dan Jimi berjaya mara ke konsert separuh akhir bertemakan Melodi Cinta Kita, Ahad depan.
Penilaian markah barisan peserta ditentukan juri tetap sebanyak 60 peratus, manakala 40 peratus lagi berdasarkan undian penonton.
Juara CSOIAM bakal membawa pulang hadiah bernilai RM1 juta termasuk wang tunai RM500,000, sebuah kereta PEUGEOT 408 bernilai RM200,000 dan kontrak rakaman eksklusif.
Begitupun, hanya empat finalis akan dipilih untuk berentap pada konsert akhir yang dijadualkan berlangsung pada 9 Februari depan.
Program yang berlangsung setiap Ahad pukul 9 malam itu dihoskan Haniff Hamzah dan Fiza Frizzy. – KOSMO! ONLINE