SANDAKAN – Enam pelancong China antara tujuh cedera dalam kemalangan membabitkan bas persiaran di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Sibuga pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, pemandu bas berusia 63 tahun turut dilaporkan parah.
Ketujuh-tujuh mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Duchess Of Kent (HDOK) untuk rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan terbabit kejadian pada pukul 9.15 pagi.
“Sepasukan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi kejadian, anggota bertugas mendapati kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran membawa pelancong dari China yang terdiri daripada 13 dewasa manakala empat kanak-kanak.
“Enam pelancong cedera manakala pemandu parah. Semua mangsa dihantar ke HDOK oleh orang awam sebelum jentera bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini. – KOSMO! ONLINE