MELBOURNE – Kejutan berlaku di Rod Laver Arena apabila salah seorang bintang tenis dunia, Novak Djokovic menarik diri pada aksi separuh akhir Terbuka Australia menentang Alexander Zverev kelmarin selepas hanya satu set.
Meskipun menunjukkan aksi kompetitif dalam set pertama yang berakhir dengan kekalahan tipis 6-7 (5-7), kecederaan otot yang semakin teruk memaksa pemain Serbia itu meninggalkan gelanggang.
“Saya sudah lakukan segala yang termampu, ubat-ubatan, pembalut, rawatan fisioterapi tetapi menjelang penghujung set pertama, kesakitan semakin tidak tertanggung,” kata Djokovic.
Djokovic yang mengalahkan Carlos Alcaraz di suku akhir meskipun dalam keadaan terhincut-hincut, menjelaskan dia berharap dapat bertahan lebih lama jika berjaya memenangi tie-break set pertama.
“Kalau saya menang set pertama, mungkin saya akan teruskan. Tetapi untuk bertahan secara fizikal selama dua, tiga atau empat jam lagi, saya tak mampu. Hari ini, tubuh saya mengalah,” tambahnya.
Kekalahan itu menunda impian Djokovic untuk mengukuhkan statusnya sebagai Greatest of All Time dalam arena tenis biarpun tidak memenangi sebarang Grand Slam tahun lalu selain pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024.
Selepas ini, Djokovic merancang untuk kembali ke Eropah bagi mendapatkan penilaian lanjut mengenai kecederaannya, namun masa depannya untuk beraksi dalam kejohanan di Doha bulan depan masih samar.
Penarikan diri Djokovic membuka ruang kepada Alexander Zverev, pemain pilihan kedua dari Jerman, untuk terus mengejar kejuaraan Grand Slam pertamanya dan akan berentap di final menentang ranking pertama dunia, Jannik Sinner hari ini. – AGENSI