KAPTEN Harimau Malaya, Dion Cools menyambut baik kehadiran pemain-pemain warisan baharu yang dijangka mewarnai pasukan kebangsaan menjelang kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac depan.
Sebagai rekod, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), mengesahkan sekurang-kurangnya empat pemain warisan hampir pasti diserapkan dalam skuad kendalian Peter Cklamovski manakala tambahan empat lagi pemain sedang menanti pengesahan lanjut.
Cools yang dianggap salah seorang pemain warisan ‘gred A’ Harimau Malaya ketika ini berharap sesiapa sahaja yang mewakili skuad kebangsaan wajib ‘satu kepala’ dan bersatu hati.
“Saya hanya mahu skuad yang terbaik untuk pasukan kebangsaan. Tidak kisah pemain baharu atau lama, kita perlu sehaluan pendapat untuk memastikan pasukan ini dapat terus melangkah maju ke depan.
“Mereka (pemain warisan baharu) bakal disambut baik tetapi apa yang penting kita bersatu hati sebagai satu pasukan untuk negara,” katanya dipetik portal Futbolita.
Sementara itu, Cools yang ketika ini mewakili kelab Thailand, Buriram United mengakui tidak sabar untuk menyerap ‘ilmu baharu’ daripada Peter Cklamovski selepas dilantik mengemudi skuad revolusi Harimau Malaya.
“Kita sudah melakukan tugas yang bagus sejak beberapa tahun lepas. Namun, perubahan kali ini mampu membawa kita satu langkah ke depan dan saya tidak sabar untuk bersama projek ini,” katanya.
Cools yang juga bekas pemain skuad remaja Belgium dijangka kembali menguatkan Harimau Malaya pada kempen kelayakan Piala Asia 2027 nanti selepas tidak mewakili pasukan pada kempen Piala Asean 2024.