fbpx

Ceongsam moden di luar kotak ‘jalan keluar’ gaya tradisi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Selain ceongsam dengan skirt pendek dan labuh, ceongsam turut disuntik elemen terkini dengan digabung bersama seluar.

SAMBUTAN perayaan Tahun Baharu Cina tidak lengkap tanpa rekaan busana ceongsam terkini yang tentu sahaja akan menyerlahkan lagi penampilan si pemakai.

Pada sambutan kali ini, pereka tempatan Keith Kee Couture (KKC) tampil dengan pelbagai pilihan corak, warna dan gaya ceongsam yang tentu saja akan memenuhi cita rasa masa kini.

Mengetengahkan asimilasi tradisional dan moden, Keith menggabungkan keindahan kesenian budaya dengan variasi warna dinamik, perincian teliti dan material premium untuk menjadikannya rekaan lebih eksklusif.

Bertemakan Timeless Grace atau Keanggunan Abadi, Keith menampilkan evolusi ceongsam dengan sentuhan siluet klasik dalam rekaan terkini seiring dengan usaha memartabatkan perspektif kontemporari.

“Falsafah rekaan saya untuk koleksi ini adalah sentiasa berfikir di luar kotak. Namun, tetap mengekalkan sentuhan tradisional ceongsam agar memiliki ciri-ciri klasik.

“Begitupun, saya tetap menyuntik elemen, idea dan konsep baharu dalam rekaan ceongsam agar terus mencipta keseronokan baharu untuk diri sendiri selain beri inspirasi dalam rekaan yang akan datang,” katanya kepada CitaRasa.

Bercerita tentang rekaan, Keith menggunakan perincian bunga tiga dimensi (3D) buatan tangan yang menjadikan koleksinya memiliki gaya keunikan tersendiri.

“Pemilihan perincian tangan akan menjadikan nilai pakaian itu lebih bersifat sentimental dan mewah. Selain perincian bunga 3D, saya juga mereka reben corak abstrak buatan tangan dan butang gelung Cina buatan tangan.

“Biarpun saban tahun saya berusaha untuk menghasilkan rekaan mengikut kehendak masa kini, namun sejujurnya saya menyasar kumpulan usia antara 25 hingga 70 tahun. Sesuatu yang menarik dengan idea lebih segar untuk mereka yang inginkan sentuhan baharu dan sedikit ‘jalan keluar’ buat mereka yang inginkan perbezaan daripada gaya tradisi,” katanya.

Selain tampil dengan potongan skirt labuh dan pendek, koleksinya turut hadir dengan seluar panjang yang dipadankan bersama ceongsam dengan gaya crop top tanpa lengan. Rekaan sebegitu tentu saja dapat menambat hati anak muda yang lebih memilih gaya penampilan bebas dan terkini, tetapi tetap diselit sentuhan klasik.

“Tujuan saya memilih untuk memadankan dengan seluar kerana saya melihat gaya sebegini menjadi trend sekarang. Lagipun, seluar ini juga memberikan pemakai lebih peluang mudah untuk bergerak.

“Maklumlah apabila sambutan perayaan, kita tentu saja akan sibuk layan tetamu dan melibatkan banyak pergerakan. Jadi, padanan seluar lebih sesuai untuk mereka yang inginkan sesuatu yang selesa dan fleksibel,” ujarnya.

Dalam pada itu, Keith menggunakan elemen minimalis menerusi pemilihan rona pastel yang membuatkan pesona pemakai lebih menyerlah sekali gus menonjol sisi feminin.

Warna-warna pastel turut dilihat menjadi trend.

“Warna pastel kerap menjadi pilihan utama dan boleh juga dikatakan sebagai trend. Jadi, dalam koleksi terbaharu ini, saya lebih memilih warna seperti Sunset Coral, Aquatic Awe, Transcendent Pink, Bio Mint, Lilac dan Radiant Raspberry.

“Setiap rekaan menggabungkan pelbagai kombinasi warna, padanan kain dan perincian tersendiri. Bermula dengan kolar mandarin, bahagian lengan dan butang gelung Cina, semua padanan warna dan rekaan dibuat penuh teliti.

“Matlamat saya untuk mengubah semula ceongsam dengan mencipta siluet baharu serta idea inovatif yang melangkaui batasan pakaian tradisional yang penuh ikonik dan autentik,” jelasnya optimis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI