ALOR SETAR – Seorang kanak-kanak lelaki orang kurang upaya (OKU) pembelajaran terpaksa menjalani pembedahan selepas dipercayai mengalami pendarahan teruk setelah berkhatan di sebuah masjid di sini semalam.
Bapanya, Ahmad Mudzakkir Ahmad Mukri, 37, berkata, anaknya yang berusia 11 tahun menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pagi tadi.
Katanya, anak sulung daripada tiga beradik itu menyertai program berkhatan di sebuah masjid dengan bayaran RM50.
“Anak saya berkhatan pada sebelah petang selepas mendapat nombor giliran ke-48 daripada 50 peserta. Prosedur dilakukan doktor dan waris pula tidak dibenarkan masuk untuk melihat.
“Doktor meminta saya membawa pulang anak selepas selesai berkhatan. Tidak lama selepas itu, bahagian luka pada alat sulit anak mengalami pendarahan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurut Ahmad Mudzakkir, dia kemudian memaklumkan perkara itu kepada doktor sebelum diminta membawa anaknya ke sebuah klinik.
“Di klinik itu, doktor membuka semula jahitan dan menjahit bahagian luka tetapi pendarahan masih berlaku. Doktor kemudian meminta saya membawa anak ke sebuah lagi klinik.
“Darah terus mengalir dan saya bimbang melihat keadaan anak makin lemah, namun saya tetap ke klinik itu kerana doktor kata ada mesin untuk hentikan darah,” dakwanya.
Jelas lelaki itu, di klinik tersebut, doktor membuka semula jahitan dan meminta dia membawa anaknya ke bahagian kecemasan HSB.
“Di HSB, doktor beritahu akan jahit luka tersebut sebelum menjalani pembedahan pada pagi tadi. Alhamdulillah keadaan anak nampak baik dan masih dirawat di wad HSB,” katanya. – KOSMO! ONLINE