fbpx

Angkasa sumbang pencahayaan laluan Canopy Walk di TERKL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Presiden Angkasa, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah ketika meninjau inisiatif pencahayaan Canopy Walk diiringi Azrul Ekhuan di Taman Eko Rimba Kuala Lumpur (TERKL) hari ini.

KUALA LUMPUR – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) telah mengambil inisiatif menyumbang pencahayaan di sepanjang laluan di Canopy Walk Taman Eko Rimba Kuala Lumpur (TERKL).

Ahli Lembaga Angkasa, Datuk Kamarudin Ismail berkata, inisiatif itu juga adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial (CSR) gerakan itu sempena sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC) 2025 serta kepengerusian ASEAN 2025.

Jelasnya, inisiatif itu juga untuk meningkatkan nilai tarikan dalam mempromosikan eko-pelancongan TERKL yang merupakan satu-satunya ‘green lung area’ di pusat bandar Kuala Lumpur.

Menerusi inisiatif itu katanya, laluan kanopi itu akan diterangi dengan lampu dan ia memberikan pengalaman unik kepada pengunjung menikmati keindahan flora dan fauna tropika pada waktu malam di tengah-tengah ibu kota.

“Untuk program ini (pencahayaan laluan kanopi pada waktu malam) kita telah memperuntukkan kira-kira RM30,000 meliputi pemasangan lampu di sekitar laluan terbabit.

“Ini hanya sebagai permulaan, sekiranya ia mendapat sambutan kita akan tambah lagi peruntukkan untuk memastikan kehadiran pengunjung bertambah sekali gus memberi satu aktiviti malam yang bermanfaat di Kuala Lumpur,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan program Pencahayaan Canopy Walk bersama Angkasa sempena IYC 2025 di TERKL di sini hari ini.

Turut diadakan adalah program penanaman pokok oleh 30 sukarelawan Angkasa di taman rimba terbabit.

Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata, aktiviti menyelusuri laluan kanopi di TERKL pada waktu malam itu sudah bermula hari ini.

Sementara itu, Pengarah Perhutanan Wilayah Persekutuan, Azrul Ekhuan Eliah berkata, dengan adanya aktiviti baharu itu dijangka pengunjung akan bertambah antara 10 hingga 20 peratus berbanding tahun lalu iaitu sekitar 68,000 pengunjung.

Bagaimanapun katanya, program itu masih di peringkat awalan dan aktiviti ‘canopy walk’ pada walk itu akan dibuka secara berkala bergantung kepada situasi semasa.

“Untuk masuk ke TERKL, pengunjung tempatan dikenakan bayaran sebanyak RM10, manakala pelancong asing RM40.

“Operasi TERKL adalah bermula pukul 10 pagi dan untuk aktiviti canopy walk pada waktu malam tempoh lawatan akan dilanjutkan sehingga pukul 10.30 malam,”katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI