WASHINGTON – Satu rakaman video di Pulau Cat, negeri Carolina Selatan memaparkan insiden seekor aligator terperangkap di dalam kolam membeku, lapor laman berita Fox News kelmarin.
Walaupun ia mungkin kelihatan membimbangkan, seorang pakar menyatakan bahawa tingkah laku itu adalah strategi kelangsungan hidup yang normal.
“Apabila suhu turun dengan ketara, aligator boleh memasuki keadaan yang dipanggil ketidakaktifan.
“Haiwan itu memperlahankan metabolisme dan menjadi lesu,” kata seorang pegawai di Beaufort, Carolina Selatan.
Menurutnya, reptilia itu akan dapat menjimatkan tenaga apabila makanannya menjadi terhad.
“Semasa pembekuan, muncungnya sering berada di atas air untuk bernafas, manakala seluruh badan haiwan itu menjadi tidak bergerak dan berada di dalam ais,” ujarnya. – AGENSI