fbpx

Agi idup agi ngelaban – Jojo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JOJO (tengah) layak mendabik dada meskipun tewas kepada Estupinan dengan keputusan sebulat suara. - IG JOHANGHAZALI

JAGUH muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar enggan mengibar bendera putih terlalu awal selepas tewas menerusi keputusan sebulat suara kepada Johan Estupinan pada saingan ONE Championship 170 di Thailand malam kelmarin.

Dia yang lebih dikenali dengan panggilan Jojo sudah memberikan aksi terbaik pada pertarungan muay thai kategori flyweight itu apabila membuatkan petarung dari Colombia tersebut tidak senang duduk.

Johan menganggap kekalahan itu sebagai satu halangan kecil dalam kariernya dan dia yang mewakili Rentap Muay Thai Gym melaungkan keazaman untuk kembali dengan lebih kuat pada masa akan datang.

“Alhamdulillah, hanya halangan kecil dalam perjalanan saya. Saya akan kembali. Terima kasih semua atas sokongan yang diberikan,” tulisnya menerusi hantaran dimuat naik di laman Instagram.

Pada pertarungan berlangsung di Impact Arena, Bangkok itu, Johan bermula cukup baik apabila saling berbalas asakan selain berjaya menjatuhkan Estupinan hasil tumbukan tangan kanan di penghujung pusingan pertama.

Kemudian, Estupinan yang terkenal dengan julukan ‘Panda Kick’ mendominasi pusingan kedua apabila melakukan asakan bertalu-talu menyebabkan petarung berusia 19 tahun itu terjatuh.

Memasuki pusingan terakhir, kedua-dua petarung berlawan secara terbuka dan menyebabkan pertarungan menjadi lebih menarik, namun nasib tidak menyebelahi Johan yang tewas menerusi keputusan sebulat suara.

“Saya sudah buat yang terbaik dan tidak mahu berikan sebarang alasan, kita buat lagi pada pertarungan akan datang. Agi idup agi ngelaban, selagi hidup selagi itu aku berlawan,” ujar Johan.

Keputusan itu menyaksikan Estupinan terus gah dengan aksi tanpa kalah apabila melebarkan rekod kepada 27-0 selain mencatat kemenangan kelima berturut-turut di pentas ONE Championship.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI