PEMINAT bola sepak tanah air boleh tersenyum apabila empat pemain warisan bertaraf ‘gred A’ dijangka menyarung jersi Harimau Malaya menjelang saingan kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac depan.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan mengesahkan proses mendapatkan kerakyatan Malaysia bagi empat pemain warisan baharu itu kini sedang menunggu kelulusan muktamad daripada kerajaan Malaysia
“Selain itu, FAM juga dalam proses melengkapkan dokumentasi bagi empat pemain lain.
“FAM berterima kasih kepada kerajaan Malaysia atas sokongan yang diberikan dalam usaha meningkatkan mutu pasukan Harimau Malaya,” kata kenyataan yang dikeluarkan badan induk bola sepak negara itu semalam.
Sebagai rekod, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini mendedahkan tujuh pemain berada dalam radar untuk menguatkan ‘revolusi’ Harimau Malaya yang dikendalikan oleh Peter Cklamovski.
“Pertahanan tengah, pertahanan kiri, penyerang, pemain tengah, tengah menyerang dan sayap kiri.
“Majoriti bermain di liga utama di Eropah. Tiada dari England, kebanyakan (dari) selatan Eropah,” tulis Tunku Mahkota Ismail menerui laman sosialnya baru-baru ini.
Berdasarkan spekulasi di laman sosial, beberapa pemain didakwa memiliki darah Malaysia seperti bekas pemain tengah remaja Scotland, Jordan Holsgrove yang ketika ini berkelana di Liga Portugal bersama pasukan Estoril.
FAM dilihat serius untuk memantapkan pasukan kebangsaan sekali gus menutup kekecewaan peminat apabila diberikan harapan ‘palsu’ selepas beberapa pemain yang didakwa memiliki salasilah Malaysia menafikan spekulasi tersebut.
Antara yang mengeluarkan kenyataan rasmi adalah kapten Burnley yang beraksi di Liga Kejuaraan Inggers, Josh Brownhill pertahanan Newcastle United, Isaac Hayden dan bintang muda PSV Eindhoven, Iggy Houben.
FAM sebelum ini telah melakukan langkah awal dengan berusaha umembawa masuk pemain kelahiran Belanda yang mewakili kelab Go Ahead Eagles, Mats Deijl.
Misi tersebut gagal kerana tidak melepasi syarat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menukar kerakyatan selepas hanya mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyangnya.
Syarat utama FIFA untuk mana-mana pemain mewakili negara selain negara kelahiran adalah memiliki darah warisan sekurang-kurangnya menerusi datuk atau nenek kandung mereka.