SEREMBAN – Keasyikan sekumpulan lelaki bermain judi holo terencat apabila diserbu sepasukan anggota polis yang melakukan serbuan di di sebuah rumah Jalan Seri Binjai 3, Taman Seri Binjai, Seremban, di sini, tengah malam tadi.
Dalam serbuan jam 12.01 tengah malam itu, seramai 14 lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 34 sehingga 62 tahun disyaki kaki judi telah ditahan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, dalam serbuan itu juga, polis telah merampas sebuah meja yang mempunyai lukisan perjudian Holo, dua dadu, satu piring seramik, satu mangkuk seramik, dan 12 buah kerusi.
“Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM 19,168,” katanya kepada pemberita di sini.
Katanya, kesemua tangkapan telah dibenarkan tahanan reman selama tiga hari untuk siasatan lanjut.
“Sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 5,000 atau dipenjara bagi tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” katanya. – KOSMO! ONLINE