SYDNEY – Seekor buaya tembaga yang ‘bermain ombak’ mengejutkan seorang wanita ketika dia mengunjungi Pantai Coonarr di Australia, lapor portal berita MailOnline semalam.
Jasmine Van Den Bos terpegun melihat buaya itu ‘seolah-olah bermain dengan ombak’ ketika membawa anjingnya keluar bersiar-siar, baru-baru ini.
“Saya panik. Sukar saya untuk mempercayainya,” kata Jasmine kepada saluran televisyen ABC.
Reptilia itu berada kira-kira 200 kilometer ke selatan Sungai Boyne, Gladstone iaitu tempat habitat buaya air masin.
Jasmine yang kerap kali berkunjung ke pantai berkata, kehadiran buaya itu bermakna dia akan berhenti berenang di lokasi tersebut buat sementara waktu.
Jabatan Alam Sekitar, Pelancongan, Sains dan Inovasi Queensland dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedang menyiasat penemuan buaya yang dilaporkan itu. – AGENSI