PETALING JAYA – Seorang datuk tidak dapat menahan sebak ketika menghantar cucu kesayangannya yang dijaga sejak kecil melangkah ke alam baharu sebagai pelatih di Pusat Latihan Polis (Pulapol).
Menerusi perkongsian di TikTok oleh @Achhuuuu, lelaki warga emas itu dilihat memeluk erat cucu lelakinya sebelum menjauhkan diri, menahan air mata daripada jatuh.
Lebih menyentuh hati, ketika cucunya bersalaman dan berpelukan dengan ahli keluarga lain, dia hanya mampu melihat dari jauh dengan wajah penuh emosi.
Menurut @Achhuuuu, remaja lelaki tersebut telah dijaga oleh atuk dan neneknya sejak kecil dan mereka tidak pernah berpisah walau sesaat.
“Sedih? Tengok dari raut atuk pun dah tahu, dia tak sanggup. Sepanjang aku hidup, ini kali pertama nampak abah menangis, bukan disebabkan anak, tapi disebabkan cucu lelaki dia,” tulisnya.
Hantaran itu telah meraih ribuan tontonan dari pengguna media sosial yang turut sama bersedih melihat reaksi daripada warga emas itu.
“Akhirnya cucu dia berjaya, mana dia tak sedih. Aku pun menangis sekali ni masalahnya,” ujar @Elhaurafathia.
“Nanti keluar rekrut jangan lupa atuk ye dik. Bagi dia hadiah tanda terima kasih jaga adik. Hadiah kecil pun tak apa yang penting menghargai,” pesan @Budublengah999_.
“Atuk dia lap air mata pun paling belakang,” komen @Mad_razi. – KOSMO! ONLINE
@achhuuuuu Atok, Opah Tengok sampai habis 🥺 Dari sekecil kecil manusia, dia dijaga opah atok, tak pernah berpisah walau sesaat, tinggal pun sekali dengan maksu. Hari ini, hari yang sangat hiba untuk opah atok lepaskan cucu kesayangan dia pergi untuk masa depan dia. Sedih? Tengok dari raut atok pun dah tahu, dia tak sanggup. Sepanjang aku hidup, ini kali pertama nampak abah menangis, bukan disebabkan anak, tapi menangis disebabkan cucu lelaki dia. Atok, Opah sayang kamu sampai hujung nyawa. #pulapol #cucu #fypage ♬ Janjinya Syurga – Rusa Music