TANAH MERAH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah mengutip bayaran tunggakan saman sebanyak RM12.5 juta sejak tawaran kompaun khas dengan kadar rata RM150 bagi tiga kesalahan trafik dilancarkan pada awal bulan ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 83,000 saman sudah diselesaikan oleh pesalah trafik di seluruh negara.
Katanya, tawaran kompaun dengan kadar rata sebanyak RM150 itu melibatkan Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) (Saman 53A), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).
“Jumlah keseluruhan saman dianggarkan sebanyak 2 juta, namun hanya 83,000 saman diselesaikan buat masa ini.
“Masih ramai lagi rakyat Malaysia yang tidak menjelaskan saman dan tawaran kompaun khas dengan kadar rata itu terhad untuk enam bulan sahaja sehingga 30 Jun depan,” katanya ditemui pada Majlis Sumbangan Skuad Ihsan Madani JPJ dan Pakaian Seragam Sekolah Kepada Mangsa Banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Bendang Nyior di sini hari ini.
Menurutnya, pesalah trafik akan dikenakan tindakan sekatan urus niaga dengan pihak JPJ sekali gus nama mereka disenarai hitam sehingga saman dijelaskan.
“Apabila tindakan itu dikuatkuasakan, mereka tidak boleh memperbaharui lesen dan cukai jalan sehingga saman itu dijelaskan.
“Oleh itu, kita beri peluang kepada rakyat Malaysia untuk menjelaskan saman dengan kompaun khas dengan kadar rata RM150 sehingga Jun depan,” ujarnya.
Beliau berkata, pembayaran boleh dilakukan melalui pelbagai saluran antaranya di kaunter JPJ, portal awam, kios JPJ, dan aplikasi MyJPJ.
Katanya, pembayaran kompaun khas bagaimanapun tidak boleh dilakukan melalui saluran MyEG dan di pejabat Pos Malaysia. – KOSMO! ONLINE