fbpx

Tiga penjual dadah konsert Pinkfish dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Polis telah memberkas tiga individu yang disyaki penjual dadah ketika berlangsungnya Konsert Pinkfish di Bandar Sunway, di sini, 31 Disember lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, salah seorang daripada suspek berkenaan telah ditahan di semasa konsert berkenaan berlangsung.

Jelasnya, dua lagi suspek ditahan di sekitar negeri ini dalam operasi berasingan antara 8 hingga 12 Januari lalu dan kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 30an.

“Siasatan mendapati salah seorang daripada suspek hadir ke konsert berkenaan, manakala dua lagi berada di luar lokasi penganjuran.

“Hasil soal siasat ke atas mangsa yang terselamat pula mendapati ada yang membeli pil ekstasi di dalam konsert, selain terdapat juga individu yang mendapatkan bekalan tersebut di luar kawasan acara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Advokasi sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol PJS, Lebuh Raya Pantai Baharu (NPE) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, pihak berkuasa akan mengetatkan syarat penganjuran konsert bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Antara syarat baharu yang akan diteliti adalah jenis muzik yang dimainkan, jumlah kehadiran penonton bergantung kepada lokasi, serta kewajipan pihak penganjur menyediakan kit bantuan kecemasan awal.

“Selain itu, PDRM akan menempatkan pasukan narkotik di lokasi acara bagi membanteras sebarang aktiviti penyalahgunaan dan penjualan dadah,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat mengesahkan empat individu yang maut ketika menghadiri Konsert berkenaan mempunyai kandungan dadah di dalam darah.

Beliau berkata, penemuan itu berdasarkan analisis toksikologi daripada Jabatan Kimia.

Menurutnya, seramai 52 orang saksi terdiri daripada rakan-rakan mereka yang maut dan petugas konsert berkenaan telah dirakam keterangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI