KOTA BHARU – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan kegiatan satu sindiket menyeludup dan mengedar rokok yang bernilai RM1.72 juta termasuk cukai itu selepas menyerbu tiga lokasi berasingan di sini, Tumpat dan Tanah Merah semalam.
Rampasan sebanyak 4,613 karton rokok itu dijalankan semasa Cawangan Risik Batalion 7 PGA menjalankan operasi menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, anggota PGA pada awalnya menahan seorang lelaki warga emas berusia 61 tahun di sebuah gerai menjual goreng pisang di Taman Jazna di sini kira-kira pukul 6 petang kelmarin.
Menurutnya, suspek mengaku menyimpan sejumlah rokok seludup di rumahnya Kampung Jaya Setia, Badang di sini selepas soal siasat dijalankan.
“Serbuan di rumah itu membawa kepada penemuan sebanyak 13 karton rokok seludup bernilai RM 4,862 di atas lantai bahagian ruang tamu.
“Siasatan mendapati, suspek mendapat bekalan rokok itu daripada adik iparnya yang dikenali dengan panggilan Kojek dan menjual barangan tersebut secara kecil-kecilan kepada penduduk sekitar Kampung Jaya Setia.
“Hasil soal siasat dan maklumat daripada suspek, Cawangan Risik Briged Tenggara bersama Batalion 7 PGA menjalankan operasi di kawasan pangkalan haram Pulau Tengkorak, Tumpat kira kira-kira pukul 5 pagi semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, pemantauan menggunakan dron selama satu jam kemudian mengesan sekumpulan lelaki sedang memunggah kotak-kotak dari sebuah bot ke tebing Sungai Golok.
Katanya, kesemua suspek bagaimanapun bertindak melarikan diri ke sebelah Thailand dengan menaiki bot selepas menyedari kehadiran pihak polis.
Menurutnya, pemeriksaan di kawasan pangkalan haram itu menjumpai 57 kotak berisi 2,850 karton rokok seludup yang bernilai lebih RM1 juta termasuk cukai yang cuba diseludup dari negara jiran.
“Hasil daripada kedua-dua serbuan itu, anggota PGA menyerbu sebuah sebuah kilang kayu lama yang sudah tidak beroperasi di Kampung Tok Che Dol, Tanah Merah kira-kira pukul 6 pagi pada hari yang sama.
“Suspek yang menyedari kehadiran pihak polis bertindak lolos ke kawasan hutan di belakang kilang tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata, pemeriksaan di bawah kanvas di kawasan kilang itu menjumpai sebanyak 1,750 karton rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM654,500 termasuk cukai.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, kesemua rokok itu dipercayai diseludup melalui pengkalan haram di sempadan Malaysia dan Thailand.
“Rampasan rokok-rokok itu berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran rokok seludup di pasaran tempatan,” ujarnya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(E) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE