NEW DELHI – Seorang ketua menteri sebuah negeri di India menawarkan ganjaran 86 juta rupee (RM4.3 juta) kepada sesiapa yang dapat mentafsirkan satu skrip Tamadun Lembah Indus, lapor portal berita Good News Network semalam.
Ketua Menteri Tamil Nadu, M.K. Stalin menawarkan ganjaran 86 juta rupee kepada mana-mana individu yang dapat menterjemahkan skrip berbentuk lukisan bersama pelbagai jenis lambang tersebut.
Salah satu peradaban bandar tertua dalam sejarah manusia, Lembah Indus atau dikenali sebagai orang Harappa mula membina penempatan di Lembah Sungai Indus di Pakistan/India kira-kira 5,500 tahun lalu.
Mereka meninggalkan skrip dan bahasa yang masih belum dapat dihuraikan.
Stalin mengumumkan ganjaran itu selepas satu penerbitan saintifik baru-baru ini mengaitkan pelbagai tanda grafiti yang terdapat pada tembikar Tamil purba dengan skrip Harappa dan percaya ia mungkin ada kaitan dengan kedua-dua tamadun purba itu.
Jika ada, ia akan menjadi penemuan yang menakjubkan kerana telah wujud kebolehan membaca pelbagai cop mohor dan simbol pada artifak Harappa.
Ini kerana Tamil Nadu adalah negeri paling selatan di India yang terletak beribu-ribu kilometer jauhnya dari kota Harappa.
Sebelum ini, sarjana-sarjana linguistik melakukan pelbagai usaha untuk mendapatkan sedikit pemahaman tentang cara membaca bahasa tamadun itu tetapi gagal. – AGENSI