MELBOURNE – Juara bertahan, Aryna Sabalenka terus membuktikan keunggulannya apabila menundukkan rakan baiknya, Paula Badosa untuk mara ke final Terbuka Australia kali ketiga berturut-turut.
Sabalenka, pemain nombor satu dunia dari Belarus tidak memberikan banyak peluang kepada Badosa apabila mencatat kemenangan selesa 6-4, 6-2 di Rod Laver Arena.
Juara bertahan dua tahun berturut-turut itu kini hanya selangkah lagi meraih gelaran ketiga di pentas Grand Slam tersebut sekali gus menjadi satu pencapaian luar biasa yang kali terakhir dilakukan oleh legenda tenis, Martina Hingis pada 1999.
Ia turut menambah rekod cemerlang Sabalenka dengan 20 kemenangan berturut-turut di Terbuka Australia dan jika berjaya merangkul kejuaraan, dia akan menyertai barisan pemain ikonik seperti Margaret Court, Evonne Goolagong, Steffi Graf dan Monica Seles yang pernah memenangi tiga gelaran berturut-turut kejohanan tersebut.
“Saya sangat bangga dengan diri sendiri dan pasukan saya kerana berada dalam situasi seperti ini. Jika saya mampu mengukir nama saya dalam sejarah, ia bermakna segalanya buat saya,” kata Sabalenka.
Sabalenka menyifatkan pertembungan dengan Badosa sebagai cabaran emosi kerana mereka rapat di luar gelanggang dan meskipun terpaksa mengetepikan persahabatan buat sementara, dia berharap hubungan baik itu kekal selepas perlawanan.
“Saya harap dia masih kawan saya. Mungkin dia akan membenci saya untuk sejam, sehari atau dua hari, tapi saya boleh terima. Selepas itu, saya rasa kami akan kembali seperti biasa, keluar bersama dan pergi membeli-belah,” ujar Sabalenka
Sabalenka kini bersedia untuk menentang Madison Keys iaitu pilihan ke-19 kejohanan yang mengejutkan dunia tenis apabila menewaskan pemain No. 2 dunia, Iga Swiatek dalam aksi separuh akhir. – AFP