KUALA LUMPUR – “Saya janji akan buat lesen selepas selesaikan saman tertunggak sebelum ini”.
Itu kata seorang penghantar makanan (p-hailing) apabila dia gagal mempamerkan lesen kenderaan motor (LKM) selepas ditahan di Plaza Tol Pantai Dalam, di sini semalam.
Ketika diperiksa, lelaki berusia 22 tahun itu turut gagal menunjukkan kad pengenalan diri selain mengakui menggunakan akaun adiknya untuk menjadi penghantar makanan.
Menurutnya, dia tidak dapat membuat LKM kerana mempunyai 10 saman tertunggak berjumlah kira-kira RM2,500.
“Sebelum ini kerja di bengkel, sejak tahun lepas baru jadi penghantar makanan. Itupun saya pakai akaun adik dan motosikal dia,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Dalam pada itu, seorang lagi penghantar makanan yang ditahan kerana kesalahan tamat tempoh LKM didapati positif dadah methamphetamine.
Kedua-dua penunggang itu antara yang ditahan dalam Ops Khas Motosikal dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) sempena Tahun Baharu Cina.
Operasi bermula pukul 9 hingga 11 malam itu dilaksana bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Menurut JPJ, sebanyak 49 daripada 219 kenderaan diperiksa telah dikenakan tindakan di atas pelbagai kesalahan termasuk menyita empat buah motosikal.
Ia melibatkan 21 kesalahan tiada LKM, tamat tempoh LKM (14), tiada insurans (13) dan satu kesalahan berkaitan nombor pendaftaran.
Dalam pada itu, pemeriksaan ujian air kencing oleh AADK ke atas 10 individu mendapati dua daripadanya positif dadah jenis methamphetamine. – KOSMO! ONLINE