KULIM – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menetapkan tempoh enam bulan bagi memproses permit masuk terutama kepada warga asing untuk tinggal di negara ini bersama pasangan mereka yang merupakan rakyat Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kelonggaran itu merupakan pembaharuan diperkenalkan pihaknya selepas perkara itu menjadi rungutan masyarakat selama ini ekoran prosesnya memakan masa yang panjang.
Katanya, sebelum ini berlaku kes di mana permohonan permit masuk suami warga asing dan isteri warga tempatan atau sebaliknya yang terpaksa menunggu sehingga 10 hingga 17 tahun.
“Proses ini akan mengikut piagam pelanggan yang lebih realistik iaitu enam bulan setelah permohonan lengkap dikemukakan.
“Katalah suami orang Karangan (Kulim), isteri dia orang Thailand. Sebelum ini dia masuk dia dapat pasangan, kemudian baru dapat permit masuk sebelum mendapat status penduduk tetap dan seterusnya warganegara.
“Jadi sekarang ini berdasarkan kepada perubahan baharu, kita nak bantu untuk mempercepatkan proses itu,” katanya pada sidang akhbar Program Sua Mesra KDN di Karangan, hari ini.
Tambahnya, sebanyak 23,674 permohonan membuat permit masuk direkodkan sejak 2020 hingga tahun lalu dengan 52 peratus daripadanya berjaya manakala baki jumlah permohonan ditolak atas pelbagai faktor. – KOSMO! ONLINE